Sabtu, 18 Disember 2021 | 9:41pm
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. Foto fail BERNAMA
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. Foto fail BERNAMA

Chieng Jen akui kekalahan DAP

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menerima kekalahan parti itu yang hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji punca kekalahan parti itu yang sebelum ini menang tujuh kerusi pada PRN ke-11.

"Secara keseluruhannya, saya mengakui dan menerima keputusan rakyat. Susulan kekalahan ini, kami akan mengkaji punca yang menyebabkan kekalahan.

"Ada sebab perkara itu (kekalahan) berlaku yang menyebabkan mereka (pengundi) tidak meneruskan sokongan terhadap parti kami.

"Perkara ini harus dikaji dan kami akan melakukan 'post mortem'. Apa yang boleh saya janjikan adalah perjuangan kami memberi perkhidmatan kepada rakyat dan hak sarawak akan tetap diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat penjumlahan undi di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.

Chieng Jen memenangi kerusi DUN Padungan dengan 1,198 majoriti selepas meraih 4,686 undi.

Beliau menewaskan calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Wee Hong Seng, yang meraih 3,488 undi, Raymond Thong Ee Yu dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) (930 undi) dan Lina Soo dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (193 undi).

Satu lagi kerusi dimenangi parti itu adalah di DUN Pending menerusi Violet Yong Wui Wui dengan majoriti 540 selepas meraih 5,188 undi.

Violet menewaskan calon GPS Miltan Foo Tiang Wee yang meraih 4,648 undi, calon PSB Tan Kay Hok (1,858 undi), calon PBK Teo Kuang Kim (978 undi) dan calon ASPIRASI Chan Chee Heong (204 undi).

Chieng Jen berterima kasih kepada pengundi atas sokongan yang diberikan apabila memenangi kerusi DUN Padungan pada PRN kali ini.

"Walaupun Datuk Bandar Kuching Selatan (Datuk Wee Hong Seng) adalah lawan yang merebut kerusi DUN ini, saya bersedia bekerjasama dengan beliau dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Padungan.

"Ini kerana terdapat banyak kawasan di Padungan terletak di bawah seliaan MBKS," katanya.

Berita Harian X