Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:53pm
Dr Mohd Yadzil Yaakub (kiri) dan Dr Mohd Aleef Yusof
Dr Mohd Yadzil Yaakub (kiri) dan Dr Mohd Aleef Yusof

Dua ADUN PN sebaris pembangkang di DUN Melaka

MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka dari Perikatan Nasional (PN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini menerima surat daripada kerajaan negeri menyatakan tempat duduk masing-masing pada sidang DUN adalah di blok pembangkang.

ADUN Sungai Udang daripada PN-BERSATU, Dr Mohd Aleef Yusof dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) menerima perkara itu dengan hati terbuka.

DUN Melaka dijangka bersidang selama empat hari bermula 27 Disember ini.

Dr Aleef berkata, beliau dan Dr Mohd Yadzil menerima surat daripada kerajaan negeri baru-baru ini yang antara lain menyatakan mereka berdua ditempatkan sebaris dengan ADUN pembangkang.

"Di Pusat, BN memerlukan sokongan PN untuk duduk sebaris di Dewan Rakyat dan dalam pentadbiran negara tetapi di Melaka, kami pembangkang.

"Bagaimanapun, kami terima dengan hati terbuka dan insya-Allah akan hadir pada persidangan itu kelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Mohd Aleef, 35, berkata, sebelum ini beliau dan Dr Mohd Yadzil tidak dibenarkan masuk ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) masing-masing kerana tidak dikategorikan sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, mereka berusaha mendapatkan pejabat perkhidmatan untuk rakyat di kawasan masing-masing bagi memastikan masalah rakyat mampu diselesaikan, katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini mereka masih belum menemukan rumah kedai yang sesuai untuk tujuan berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, BN menang 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN manakala PN-BERSATU (dua) dan Pakatan Harapan (lima).

Dr Mohd Aleef mengejutkan banyak pihak, terutama BN apabila mencatatkan undi majoriti 530 bagi menewaskan calon BN, iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Dr Mohd Yadzil memperoleh 4,211 undi dan menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.

Berita Harian X