Selasa, 14 Disember 2021 | 6:59pm

Hanya 'pertelingkahan keluarga'

KUCHING: Tindakan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bahagian Kuching membubarkan jenteranya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan disifatkan sebagai pertelingkahan antara keluarga.

Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata rakyat ketika ini lebih memikirkan soal kebajikan mereka berbanding masalah dalaman parti.

"Ini ibarat pergaduhan keluarga. Apa yang lebih utama adalah kepentingan rakyat. Mereka tidak mengambil kisah mengenai pergaduhan keluarga dalam SUPP," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan SUPP bahagian terbabit membubarkan jentera parti kerana tidak berpuas hati berhubung pemilihan calon.

Yang turut hadir, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Padungan, Datuk Wee Hong Seng.

Mengulas lanjut, Dr Sim meminta semua anggota parti itu tanpa mengira jawatan supaya menyokong penuh calon GPS bagi DUN Padungan.

"Saya memohon kepada semua ahli parti bukan sahaja di Padungan malah di semua kawasan supaya menyokong calon GPS," katanya.

Pada PRN Sarawak kali ini, DUN Padungan menyaksikan pertembungan empat penjuru antaranya membabitkan Hong Seng dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Dua calon lain adalah Lina Soo dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Raymond Thong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Berita Harian X