Ahad, 12 Disember 2021 | 11:18pm
PRU-15 tidak perlu disegerakan seperti PRN Sarawak. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
PRU-15 tidak perlu disegerakan seperti PRN Sarawak. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD

Tak perlu segerakan PRU-15 - Khairy

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu disegerakan kerana kemunculan varian baharu COVID-19 Omicron yang masih tidak diketahui ancamannya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata walaupun prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjaya mengelak wujudnya kluster dan lonjakan kes harian COVID-19, PRU-15 tidak perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, penilaian risiko Kementerian Kesihatan menunjukkan wajar untuk mengelak daripada melaksanakan perkara yang tidak perlu disegerakan seperti PRU-15, bagi mengelak risiko situasi semasa COVID-19 bertukar menjadi buruk.

Katanya, PRU-15 berbeza berbanding PRN Melaka dan Sarawak yang tidak dapat dielakkan disebabkan kehendak undang-undang, sekali gus terpaksa dilaksanakan dengan SOP yang ketat.

"PRN Melaka dan Sarawak hanya dapat dielakkan jika kita isytiharkan darurat. Kita semua dah setuju tidak mahu isytiharkan darurat lagi, kita mesti berdepan dengan demokrasi dan rakyat.

"Sarawak tak dapat dielakkan sebab tempoh waktu Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah tamat. Dalam kes Melaka, DUN dibubarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, jadi kita buat SOP yang ketat.

"Tetapi PRU boleh dielakkan. Ia tidak perlu diadakan atau disegerakan. Kita buat penilaian risiko, benda yang tak boleh dielakkan, kita buat SOP. Tetapi yang tidak perlu diadakan, kenapa nak diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Naratif Khas di RTM1, malam ini.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan sudah menyampaikan saranan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, khususnya kerana khuatir dengan risiko ancaman varian Omicron.

"Dalam kes PRU, pandangan kita masih kekal. Nasihat saya kepada Perdana Menteri, terutama sewaktu Omicron yang masih banyak tidak diketahui, masanya belum sesuai lagi.

"Soal politik, kita serah kepada pucuk pimpinan tapi dari segi kesihatan awam, walaupun Melaka nampak seolah-olah telah berjaya dan Insya-Allah Sarawak juga akan berjaya, itu hanyalah pilihan raya yang tidak dapat dielakkan.

"PRU boleh dielakkan. Jadi, kita elakkan dahulu," katanya.

Berita Harian X