Isnin, 6 Disember 2021 | 10:30am

Empat penjuru di DUN Padungan

KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Theresa Korina Peter Legi mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 10.12 pagi, selepas proses penamaan di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, ditutup pada jam 10 pagi.

"Saya sudah menyemak dan selepas selesai, saya berpuas hati serta tiada calon ditolak kertas penamaannya," katanya.

Pada pilihan raya itu, GPS mempertaruh bekas Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, manakala DAP pula mengetengahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen.

Dua lagi calon ialah Raymond Thong Ee Yu dari Parti Bumi Kenyalang dan Soo Lina yang mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.

Terdahulu, anggota dan pegawai polis melaksanakan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon seawal jam 6 pagi bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Penamaan calon kerusi DUN Padungan oleh Pengerusi Parti DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foot NSTP/NADIM BOKHARI
Penamaan calon kerusi DUN Padungan oleh Pengerusi Parti DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foot NSTP/NADIM BOKHARI

N.09 - Padungan (mengikut kertas undi)

1. Raymond Thong Ee Yu (PBK)

2. Chong Chieng Jen (DAP)

3. Soo Lina (Aspirasi)

4. Datuk Wee Hong Seng (GPS)

Penamaan kerusi DUN Padungan Parti GPS, bekas Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Penamaan kerusi DUN Padungan Parti GPS, bekas Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X