Ahad, 5 Disember 2021 | 12:26pm
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Parti dominan bolehkan kerajaan tumpu pembangunan

KUALA LUMPUR: Pembentukan parti dominan dalam politik membolehkan kerajaan memberi tumpuan membangun negara, bukan bertujuan menyelamatkan kuasa.

Dalam amalan demokrasi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pergerakan politik kepartian bertungkus lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak.

Beliau mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin keliru dalam mentafsir keperluan parti dominan, sejak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) tewas dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

"Mana boleh diterima hujah beliau sistem parti politik yang dominan itu tidak lagi sesuai masa. Ini berbahaya kata beliau kerana pemusatan kuasa pada individu dan bukannya parti.

"Agaknya beliau lupa beliau tersingkir dari jawatan Perdana Menteri kerana BERSATU itu tidak dominan dalam kerajaan PN. Kerana parti beliau BERSATU itu kecillah, maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah sekali tersungkur," katanya dalam media sosial hari ini.

Beliau berkata, mungkin juga Muhyiddin tidak ingat kestidakstabilan politik yang Malaysia selama 42 bulan lalu ialah kerana tiadanya parti terbesar dalam membentuk kerajaan.

"Sehingga berlakunya tragedi puluhan Ahli Parlimen melompat parti demi memperdagang kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan," katanya sambil menambah Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam jumlah yang begitu besar.

"Hanya semenjak BERSATU menjadi kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH) dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman. Atau juga beliau tidak lagi boleh membezakan Malaysia ini sebuah demokrasi ala Westminster.

"Maknanya hanya parti terbesar dan terkuat di jemput untuk membentuk kerajaan," katanya.

Mohamed Khaled juga mahu melihat jumlah kerusi yang boleh dimenangi BERSATU dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Dalam PRU lalu, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. Mungkin kerana itu, BERSATU selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.

"Dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala-Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia," katanya.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN). - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN). - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Berita Harian X