Sabtu, 4 Disember 2021 | 2:31pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Ipoh, hari ini. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Ipoh, hari ini. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Perak sudah wartakan Undi 18 - Saarani

IPOH: Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur layak mengundi bahkan menjadi calon ahli Dewan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun atau Undi 18 sudah diwartakan pada April lalu.

Menteri Besar, Datuk Ser Saarani Mohamad, berkata ia sudah diusulkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Oktober tahun lalu dan sudah diwartakan pada April tahun ini.

"Kita memang sudah selesaikannya (pewartaan)," katanya pada sidang media selepas berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di sini hari ini.

Pada 27 Oktober tahun lalu, media melaporkan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh berkenaan diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.

Berkuat kuasa 1 Januari 2022, pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun akan dilakukan secara automatik, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia sewal usia 18 tahun membabitkan diri dalam politik.

Mengenai kemungkinan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) susulan pertambahan jumlah pengundi 18 tahun, Saarani berkata, ia mungkin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

"Ini kerana kriteria persempadanan semula antaranya dibuat hanya sekali setiap 10 tahun. Saya ingat, antara persempadanan paling akhir adalah pada 2003 yang digunakan pada PRU 2004, kemudian selepas itu 10 tahun selepasnya iaitu 2013.

"Jadi kalau 10 tahun selepas itu pula, maka pada 2023. Maknanya 2023 (mungkin) selepas PRU 15, nanti baru akan ada lagi proses untuk meminda semula sempadan kawasan pilihan raya," katanya.

Berita Harian X