Ahad, 21 November 2021 | 5:25pm

Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Tey Kok Kiew meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi hambar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Keputusan peletakan jawatan itu berikutan empat kerusi yang pernah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), gagal dipertahankan pada PRN kali ini.

Ia termasuk kerusi yang ditandingi Kok Kiew di Bemban selain Duyong, Gadek dan Machap Jaya.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada semua ahli parti dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu sekali gus mengakibatkan PH gagal membentuk kerajaan negeri.

"Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada PRU-14 lalu berkurangan kepada empat.

"Keputusan ini (meletak jawatan) adalah keputusan peribadi saya dan saya ingin memohon maaf kepada semua ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

"Sebagai ketua (parti) negeri, saya mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya negeri. Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai ketua DAP negeri, berkuat kuasa serta-merta," katanya dipetik satu portal berita, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata keahliannya dalam DAP masih kekal.

Pada PRN Melaka semalam, DAP gagal mempertahankan kerusi Gadek, Machap Jaya, Bemban, Duyong manakala empat lagi kerusi dimenangi iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

Kok Kiew yang bertanding di DUN Bemban terpaksa akur apabila hanya memperoleh 3,095 undi pada pertandingan lima penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub yang mendapat 4,211 undi, calon BN, Datuk Koh Chin Han (3,883 undi) dan dua calon Bebas iaitu Azmi Khamis (130 undi) dan Datuk Ng Choon Koon (850 undi).

Berita Harian X