Jumaat, 5 November 2021 | 6:59pm
Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting. - NSTP/FB SEBASTIAN TING
Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting. - NSTP/FB SEBASTIAN TING

SUPP sudah ada nama calon PRN Sarawak - Ting

MIRI: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sudah mengenal pasti calon yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting.

Beliau juga mengakui sudah ada perbincangan yang dijalankan SUPP untuk menamakan calon yang akan diberikan mandat parti bagi bertanding dalam PRN Sarawak yang dijangka dalam masa terdekat ini.

"Ya, sudah ada nama calon, tetapi biar presiden parti (Datuk Seri Dr Sim Kui Hian umumkan)," katanya ringkas kepada BERNAMA, di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri upacara pecah tanah Gereja Holy Spirit Bandar Permyjaya yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin yang juga Naib Presiden SUPP.

Pada 24 Oktober lalu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada PRN Sarawak ke-11, SUPP bertanding 13 kerusi dan menang tujuh, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Batu Kawa, Batu Kitang, Simanggang, Repok, Meradong dan Piasau.

Berita Harian X