Selasa, 26 Oktober 2021 | 11:20am

PRN Melaka: Halangan agak ketat

KLANG: Pakatan Harapan (PH) Selangor tertanya-tanya bagaimana kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat dilaksanakan dengan penguatkuasaan larangan berhimpun atau majlis sosial dikenakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bermula semalam hingga 27 November ini.

Menyifatkan halangan itu agak ketat, Pengerusi PH dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya konsisten dalam membuat ketetapan berhubung perkara itu.

"Kekangan kempen itu sangat-sangat ketat, kita tidak pasti macam hendak melalui PRN Melaka dengan kekangan kempen yang begitu ketat.

"Tidak boleh bersemuka, tidak boleh berkumpul walaupun dalam fasa 4. Saya rasa konsistensi kerajaan (Persekutuan) kena ada dalam perkara ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Deepavali Keadilan Selangor 2021 di Pusat Khidmat DUN Sentosa di sini, semalam.

Bagaimanapun Amirudin berkata, mesyuarat sudah dijalankan dan pertemuan bersama semua pimpinan cabang sudah dilakukan.

"Kita juga sudah mendapat taklimat daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (berhubung PRN Melaka).

"Sekarang semua pemimpin sudah bergerak ke Melaka untuk membantu apa yang perlu. Namun kekangan kempen ketat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk pelancaran jentera bermula kelmarin sehingga 27 November depan.

Mengenai isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau mengeluarkan kata-kata kesat dan meninggikan suara kepada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Menteri Besar berkata:

"Kita ke arah penyelesaian banjir, bukan menuding jari antara satu sama lain. Saya percaya itu bukan hasrat sebenar beliau tetapi untuk memastikan isu ini dapat ditangani sebaik mungkin.

"Isu ini patut diteliti dari segi keberkesanan pam, pelaksanaan pam sebab penduduk bertanya berulang kali, kenapa banjir berulang sedangkan kita sudah ambil langkah sepatutnya.

"Tetapi kaedah (penyampaian) itu, cara itu perlu diperbaiki. Saya akan sampaikan nasihat kepada mereka yang terlibat. Isu (jadi) besar ia dirakam di media sosial..tetapi jika dalam mesyuarat itu juga yang dilontarkan," katanya.

Beliau juga percaya kaedah penyampaian harus disampaikan dengan baik malah diselesaikan dengan tujuan menyelesaikan masalah iaitu masalah banjir di satu-satu lokaliti.

"Walaupun kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar, mengapa masih berlaku dan berulang. Kena ada penjelasan antara satu sama lain. Dan ini memerlukan sinergi semua pihak," katanya.

Amirudin (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Deepavali Keadilan Selangor 2021 di Klang, semalam. - NSTP/Faiz Anuar
Amirudin (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Deepavali Keadilan Selangor 2021 di Klang, semalam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X