Sabtu, 23 Oktober 2021 | 7:03pm
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak pada sidang medianya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak pada sidang medianya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT

Najib akan bantu kempen BN

MASJID TANAH: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak akan membantu kempen UMNO dan BN habis-habisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah itu sebagai membantu jentera parti yang akan diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi semua kerusi yang ditandingi calon parti itu kelak.

"Saya dikehendaki membantu kempen habis-habisan. Saya akan bersama Datuk Seri Mohamad dan saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun akan turun untuk bantu kita dalam kempen.

"Kita berkempen secara bersama, saya akan banyak turun ke lapangan seperti dikehendaki UMNO dan BN, tetapi kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO, di Kampung Pulau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar.

Sementara itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata semua jentera parti perlu bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan pada PRN itu termasuk berkaitan kerjasama politik dengan parti lain.

Beliau berkata, meskipun sebarang keputusan ditetapkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, jentera parti perlu berusaha sedaya upaya dalam memenangi PRN terbabit.

"Sama ada kita bertanding sendiri atau bekerjasama dengan pihak lain seperti Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), itu di bawah bidang kuasa MKT.

"Saya serahkan kepada mereka menentukan apa kaedah formula yang terbaik. Namun, kita kena bersedia apa juga keadaan, mungkin kita ada pilihan sama ada perlukan pihak lain bersetuju dengan apa yang kita cadangkan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kekangan dan cabaran yang perlu disepakati, sebelum kata putus dibuat mengenai kerjasama itu.

"Jika kita tak dapat kata sepakat, apakan daya kita terpaksa bertanding solo atas nama BN. Kalau ada kata sepakat dan boleh diterima oleh UMNO, itu jalan yang membantu kita.

"Kita harap, apa keadaan pun kita mesti bersedia berusaha dengan sedaya upaya yang boleh. Kita yakin agenda UMNO dan BN adalah yang terbukti terbaik selama ini. Mereka (rakyat) ada peluang buat perbandingan zaman BN, PH (Pakatan Harapan) dan PN, rata-rata mereka rindu zaman BN," katanya.

Berita Harian X