Isnin, 18 Oktober 2021 | 11:58pm
Datuk Seri Idris Haron ketika sidang media selepas menghadiri perjumpaan Pakatan Harapan di Ayer Keroh, Melaka, malam ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Datuk Seri Idris Haron ketika sidang media selepas menghadiri perjumpaan Pakatan Harapan di Ayer Keroh, Melaka, malam ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad

'Saya serah nasib kepada PH dalam PRN' - Idris Haron

AYER KEROH: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, menyerahkan 'nasib dan nyawa politiknya' kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, berkata meskipun faham mengenai perubahan budaya dalam politik, beliau bersama tiga lagi ADUN akan tetap bersama PH dengan menyerahkan nasib politik mereka pada masa depan.

"Saya dan rakan-rakan bagai 'orang mendatang', kami tidak mahu jadi `melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang'.

"Kami faham parti ini sudah ada orang (calon PRN). Kami tidak mahu berbicara mengenainya, kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang," katanya selepas menghadiri perjumpaan ahli PKR Melaka bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas selesai memberi ucapan ketika perjumpaan Pakatan Harapan di Ayer Keroh, Melaka, malam ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas selesai memberi ucapan ketika perjumpaan Pakatan Harapan di Ayer Keroh, Melaka, malam ini. - NSTP/Syafeeq Ahmad

Ini kali pertama Idris berdiri di pentas PH untuk berucap selepas bersama tiga lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO, tumbang.

Selain Idris, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir pada program terbabit.

Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau bersama tiga rakannya itu belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju politiknya, meskipun mendakwa pernah menerima beberapa lamaran' daripada parti komponen PH sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, semangatnya untuk terus berjuang dalam politik semakin membara selepas menjalinkan kerjasama dengan PH sejak hampir dua minggu lalu.

"Suasana dalam dewan tadi membuktikan mereka menerima saya. Apabila saya bangun dan mendapat sokongan macam itu, saya rasa saya dah mula berada dalam keluarga besar PH.

"Tak ada sebarang cemuhan, boo (jeritan) atau tuduhan (ke atas saya) sebagai pengkhianat, tiada di sebelah sini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata kehadiran Idris bersama tiga ADUN berkenaan adalah atas jemputan pihaknya.

"PH Melaka cuba bina `khemah besar' dalam perjuangan ini dan kehadiran empat bekas ADUN berkenaan memberi semangat kepada kami untuk merealisasikannya," katanya.

Berita Harian X