Ahad, 17 Oktober 2021 | 3:11pm
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. - NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. - NSTP/Aizuddin Saad

Konflik biasa dalam persefahaman politik

KUALA LUMPUR: Walaupun hubungan UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dilihat longgar dalam konteks kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seorang pemimpin PAS Pusat menganggapnya sebagai konflik biasa.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata apa juga pandangan mengenai isu itu, ia bersifat peribadi dan setakat ini tiada keputusan dibuat di peringkat MN, mahupun parti masing-masing.

"Presiden UMNO dan sebahagian pemimpin PAS dan UMNO ada pandangan masing-masing. Ia belum lagi keputusan oleh MN atau parti.

"Ia konflik biasa dalam persefahaman politik antara parti," katanya kepada BH, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika diwawancara dalam satu program yang disiarkan secara dalam talian pada Isnin lalu, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, antara punca tiada kerjasama dengan PAS ialah MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Beliau turut menyebut mengenai pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO ketika mengulas mengenai MN, namun tidak memperincikan maksud kenyataan itu.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan soal kerjasama dalam PRN Melaka belum diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang bermesyuarat Khamis lalu.

Beliau percaya perkara itu akan dibincangkan semula oleh MKT UMNO apabila tiba masanya.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok, berkata kedua-dua pihak wajar kembali kepada matlamat asal penubuhan MN yang berpaksikan permuafakatan ummah.

Katanya, rundingan perlu terus dibuat bagi mencari penyelesaian kepada isu berbangkit.

Tegasnya, anasir kotor juga tidak sepatutnya diberi ruang untuk merosakkan hubungan yang terjalin di antara PAS dan UMNO, jika kedua-dua pihak yakin penubuhan MN dibuat dengan ikhlas dan penuh kesedaran demi ummah.

"Saranan saya amat jelas, cahayakan matlamat asal permuafakatan umat melalui MN. Ia akan amat membantu kita kepada penyelesaian.

"Melalui rundingan yang berterusan, segala yang payah akan menjadi mudah. Kesempitan bertukar keluasan.

"Jika kita yakin MN ditubuhkan dengan penuh keikhlasan dan kesedaran, mengapa kita memudahkan kejernihan itu dirosakkan oleh anasir kotor dengan matlamat kotor juga?" katanya.

Berita Harian X