Rabu, 13 Oktober 2021 | 3:00pm
Tiada kerjasama di antara UMNO dengan BERSATU atau PAS dalam PRN Melaka. - Foto hiasan
Tiada kerjasama di antara UMNO dengan BERSATU atau PAS dalam PRN Melaka. - Foto hiasan

UMNO bertanding sendirian di Melaka

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun BERSATU.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara punca tiada kerjasama dengan PAS ialah MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Beliau turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkenaan MN, namun tidak memberikan penjelasan lanjut maksud kenyataan itu.

"Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang pernah diadakan.

"Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan, insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik," katanya.

Ahmad Zahid diwawancara oleh moderator, Rafi Awang Kechik dalam program 'Jawab, Saya Tanya' bertajuk 'PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?' yang disiarkan secara dalam talian malam tadi.

UMNO dan PAS memeterai piagam MN pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Mereka juga bekerjasama dan meraih kemenangan bergaya dalam beberapa siri PRK selepas itu.

Bagaimanapun, hubungan UMNO dan PAS menjadi kendur apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU tanpa berunding terlebih dahulu dengan sekutunya dalam MN.

Menjawab satu soalan moderator, Ahmad Zahid menafikan beliau kecewa dengan MN, namun membuat penegasan UMNO dikhianati berulang kali.

"Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik. Tetapi kita harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

"Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula," katanya.

Menyentuh kerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ahmad Zahid menegaskan, beliau menghormati keputusan dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Katanya, ketetapan sudah dibuat dan beliau selaku Presiden menghormati pada PRU-15, tiada kerjasama dengan BERSATU.

"Saya fikir itulah kehendak ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka," katanya.

Berita Harian X