Isnin, 13 September 2021 | 6:45pm

'Beri jaminan memainkan peranan proaktif, terutama tuntutan MA63' - UPKO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi jaminan akan memainkan peranan proaktif merealisasikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani, terutama membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata MoU itu memberi peluang kepada UPKO untuk melaksanakan reformasi yang diperjuangkan, selain berharap pelaksanaannya dapat diperincikan kelak.

"Dalam MoU ini, kita gembira kerana MA63 dimasukkan sebagai antara perkara yang akan dibincangkan dan pada masa sama, perinciannya akan dibincangkan nanti dalam jawatankuasa pemandu.

"Sebagai contoh, dalam kajian MA63 ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, sebanyak 17 daripada 21 perkara sudah dipersetujui, tetapi sekarang sudah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Jadi, langkah pertama kalau boleh dibatalkan status OSA itu supaya rakyat dapat tahu apa yang terkandung dalam MA63. Kita akan membincangkan perkara ini lebih terperinci dalam mesyuarat kelak," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Madius berkata, setiap perkara yang terkandung dalam MoU itu dapat diperincikan dari aspek pelaksanaannya.

Justeru, beliau berharap MoU berkenaan dapat mewujudkan kestabilan, selain memberi tumpuan dalam menangani pandemik COVID-19.

"Kita menyambut baik usaha ini dan berharap dengan adanya mesyuarat setiap dua minggu, pelaksanaan perkara yang terkandung dalam MoU berkenaan dapat direalisasikan," katanya.

Kerajaan dan PH hari ini menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, iaitu komitmen bersama kedua-dua pihak bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan semula kestabilan politik negara.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen.

Turut tersenarai, Kebebasan Institusi Kehakiman, MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Berita Harian X