Isnin, 22 March 2021 | 8:17pm
Foto hiasan BERNAMA
Foto hiasan BERNAMA

PAS, BERSATU bentuk jawatankuasa PN Terengganu

KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) Terengganu sudah membentuk jawatankuasa baharu secara rasmi yang terdiri daripada kepimpinan PAS dan BERSATU negeri itu, malam tadi.

Ketua Penerangan PN Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta dibantu oleh Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, masing-masing sebagai Naib Pengerusi.

"Alhamdulillah, PN Terengganu sudah dapat dibentuk secara rasmi dengan jawatankuasa yang lengkap. Mesyuarat malam tadi dihadiri semua 24 ahli jawatankuasa PN negeri kecuali bendahari iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang kini berada di Sabah.

"Mesyuarat juga setuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen di semua bahagian kecuali di Besut.

"Diharapkan PN Terengganu akan terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil mesyuarat PN Terengganu kali pertama itu juga bersetuju untuk menjemput Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Terengganu bagi menyertai gabungan politik itu dalam berdepan PRU ke-15 akan datang.

Mengenai status kerjasama PAS dan UMNO pula, Wan Sukairi berkata, ia masih diteruskan melalui Muafakat Nasional.

Sementara itu, mengenai agihan kerusi, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, mesyuarat tidak membincangkan perkara itu.

"Penubuhan jawatankuasa PN di peringkat bahagian menjadi agenda utama mesyuarat dan tiada perbincangan mengenai pengagihan kerusi parlimen dan DUN," katanya.

Berita Harian X