Rabu, 14 Oktober 2020 | 2:58pm

Tengku Razaleigh menghadap Agong untuk beri pandangan - SU Politik

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekadar memberi pandangan berhubung situasi politik negara apabila diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Setiausaha politiknya, Mohd Lokman Ghani, berkata perbincangan itu hanya membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Tengku Razaleigh.

"Saya sendiri tidak tahu apa yang dibincangkan kerana perbincangan hanya membabitkan empat mata, sekadar memberi pandangan.

"Itu sahaja yang saya tahu. Tengku Razaleigh dipanggil untuk menghadap. Jika Tengku Razaleigh ingin membuat kenyataan, kita akan panggil media selepas ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata Tengku Razaleigh juga dipanggil menghadap semalam atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Katanya pertemuan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Tengku Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

"Semalam Yang di-Pertuan Agong menitahkan Tengku Razaleigh untuk menghadap di Istana Negara kemudian baru beliau pergi (semalam).

"Tengku Razaleigh dipanggil menghadap atas kapasiti individu yang paling berpengalaman, paling matang, lama dalam politik dan individu yang pernah bekerja dengan semua perdana menteri," katanya

Mohd Lokman turut menjelaskan pertemuan itu tidak ada kena mengena dengan kedudukan Tengku Razaleigh, 83, sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO mahupun sebagai wakil parti itu.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 2.40 petang.

Kehadiran beliau itu menimbulkan tanda tanya selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah pagi.

Anwar pula mendakwa sudah mempersembahkan jumlah majoriti yang diperolehnya bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu sekadar mempersembahkan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya tanpa mengemukakan senarai nama mereka.

Berita Harian X