Sabtu, 26 September 2020 | 9:34pm
Datuk Hajiji Noor memenangi kerusi DUN Sulaman. - Foto NSTP
Datuk Hajiji Noor memenangi kerusi DUN Sulaman. - Foto NSTP

PRN Sabah: Tiga presiden parti menang

KUALA LUMPUR: Pemimpin beberapa parti menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setakat jam 10 malam tadi, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahan kerusi DUN Senallang.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan menang DUN Tambunan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga menang DUN Pintasan. USNO bertanding 47 kerusi dalam PRN kali ini dan tidak mewakili WARISAN Plus atau GRS.

Beberapa pemimpin utama yang menang di kerusi masing-masing pula ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin (Lamag) serta Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor (Sulaman).

Bung Moktar atau Hajiji dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah jika GRS menang.

Pemimpin WARISAN Plus yang menang antaranya Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew (Api-Api) dan Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon Ming Fung (Tanjong Papat).

Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun pula menang di DUN Karanaan.

Pemimpin utama lain yang dilaporkan menang termasuklah bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mewakili UMNO di DUN Usukan; serta bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) mewakili WARISAN Plus.

Mohamaddin sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila tular videonya mempersenda pasukan keselamatan dalam insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 ketika berkempen, sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Beliau bagaimanapun tampil memohon maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu disalah erti.

Dalam pada itu, calon WARISAN Plus merangkap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, yang sedang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di mahkamah, tidak berdepan masalah untuk mempertahan kerusi DUN Melalap.



Berita Harian X