Jumaat, 11 September 2020 | 11:40pm
Ahli PKR perlu akur dengan keputusan WARISAN Plus - Anwar. Foto NSTP
Ahli PKR perlu akur dengan keputusan WARISAN Plus - Anwar. Foto NSTP

PKR akur tanding tujuh kerusi PRN Sabah - Anwar

PETALING JAYA: PKR akur dengan keputusan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Plus memperuntukkan hanya tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata calon parti pada pilihan raya negeri itu perlu menjadi pembawa suara majoriti rakyat Sabah yang memerlukan pembelaan.

"Parti ini (PKR) mempunyai masa depan, potensi yang besar, walaupun ada keresahan di bawah (akar umbi), rasa kekecewaan kerana proses rundingan ini (agihan kerusi) tidak sebagaimana kita di sini (Semenanjung), dibincangkan di semua peringkat. Akhirnya (ia keputusan) untuk menjamin supaya ada kesefahaman perpaduan.

"Kita minta rakan (ahli PKR) di negeri dan Sabah, akur dengan keputusan walaupun sukar kita terima sebagai parti yang besar, baik di Parlimen mahupun di seluruh negara untuk menerima kenyataan itu, " katanya dalam temu bual dengan BERNAMA, hari ini.

PKR adalah rakan sekutu WARISAN Plus selain DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek mengumumkan parti itu akan bertanding di 14 kerusi tetapi semalam, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis pengumuman calon PRN Sabah memaklumkan PKR hanya diberi tujuh kerusi.

Kerusi terbabit ialah DUN Api-Api dengan calonnya Datuk Christina Liew, Inanam (Peto Galim), Tempasuk (Mustapha Sakmud), Tamparuli (Alijus Sipli), Matunggong (Sazalye Donol Abdullah), Klias (Abdul Rahman Md Yakub) dan Sook (Raymond Ahuar).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PKR memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi iaitu Api-Api dan Inanam.

Mengenai peluang PKR memenangi dan mempertahankan kerusi DUN di Sabah, Anwar menegaskan tanggungjawab PKR ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan rakan sekutu dalam WARISAN Plus dan tujuh kerusi ditandingi PKR.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan semua Ahli Parlimen dan pimpinan negeri di Semenanjung dan Sarawak untuk membantu jentera pilihan raya parti di Sabah.

"Ya (boleh menang)...insya-Allah, walaupun tidak semua kawasan yang kita minta (untuk calon PKR) ada juga kawasan yang tidak ada dalam senarai yang diolah (ditawarkan), kerana dianggap sukar, tapi kita akan bekerja sekuat mungkin," katanya. - BERNAMA



Berita Harian X