Jumaat, 11 September 2020 | 3:39pm

PKR Sabah yakin kemampuan tujuh calonnya

PENAMPANG: PKR Sabah yakin tujuh calonnya dapat menggalas tanggungjawab memenangi kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, berkata fokus meraih kemenangan adalah fasa ketiga parti itu menghadapi pilihan raya ini.

Katanya, parti sudah melepasi fasa perbincangan dan pemilihan calon, selain berunding dengan rakan sekutu dalam sekutu WARISAN Plus.

"Selesai proses penamaan calon, kita akan duduk bersama semua pemimpin di cabang dan bahagian bagi merangka strategi kempen," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon bertanding pada PRN di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Christina diminta mengulas sama ada berpuas hati dengan bilangan kerusi yang diagihkan kepada parti itu pada PRN ini.

Kelmarin, Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek, berkata PKR akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah.

Berikutan itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hanya mengumumkan calon bagi parti itu, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) oleh Presidennya, Datuk Madius Tangau.

PKR kemudian mengesahkan hanya tujuh kerusi ditandingi parti itu menerusi kenyataan medianya, malam tadi.

PKR adalah rakan sekutu dalam WARISAN Plus selain UPKO, DAP dan AMANAH dengan diketuai WARISAN.

Tujuh calon PKR pada PRN kali ini ialah Christina bagi kerusi DUN Api-Api; Timbalan Pengerusi PKR, Mustapha Sakmud (Tempasuk); Ketua Pemuda PKR, Raymond Ahuar (Sook); Sazalye Donol Abdullah (Matunggong); Abdul Rahman Md Yakub (Klias) dan dua muka baharu iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil dan Petu Galim (Inanam).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi iaitu Api-Api dan Inanam.



Christina (empat, kiri) melaungkan 'lawan tetap lawan' selepas mengumumkan tujuh calon yang akan bertanding pada PRN Sabah di Pejabat PKR Kota Kinabalu hari ini. - Foto BERNAMA
Christina (empat, kiri) melaungkan 'lawan tetap lawan' selepas mengumumkan tujuh calon yang akan bertanding pada PRN Sabah di Pejabat PKR Kota Kinabalu hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X