Khamis, 27 Ogos 2020 | 4:19pm
ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (kanan) dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee. - Foto NSTP
ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (kanan) dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee. - Foto NSTP

Jailani, Norhizam minta sedikit masa sertai parti sesuai

AYER KEROH: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BEBAS di negeri ini masih berteka-teki mengenai penyertaan mereka dalam mana-mana parti kerajaan.

ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, masing-masing belum membuat keputusan untuk menyertai satu daripada tiga parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN).

Muhammad Jailani yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk menetapkan keputusannya menyertai parti di bawah PN.

"Saya sedang mencari ilham sekarang. Insya-Allah saya akan umumkan sedikit masa lagi, beri saya masa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awal Mei lalu, PKR memecat 348 ahli dan pemimpin termasuk dua wakil rakyatnya selepas didapati melanggar disiplin parti itu.

Muhammad Jailani antara wakil rakyat dipecat itu.

Beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Selain beliau, Norhizam, ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad sepakat meninggalkan kerajaan PH.

Susulan itu, Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka dipecat daripada parti berkenaan.

Hari ini, ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full mengesahkan sudah menyertai BERSATU Sabtu lalu.

Beliau yang juga EXCO Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, dilaporkan berkata keputusan itu diambil berikutan yakin BERSATU akan menjadi wadah relevan buatnya dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

Sementara itu Norhizam yang juga EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, ketika dihubungi mengesahkan akan membuat keputusan itu dalam tempoh dua bulan lagi.

"Tunggu bulan 10 (Oktober) nanti. Saya akan umumkan parti mana akan saya sertai.

"Ada beberapa parti yang mempelawa saya, tapi masih belum ada keputusan. Bagi saya, parti mana yang jaga ahlinya dengan baik, itulah yang saya pilih.

"Setakat ni saya lihat semua parti OK, tapi hati saya belum terbuka lagi," katanya.

Berita Harian X