Ahad, 16 Ogos 2020 | 1:05pm
Annuar berharap kejadian mengejek ARMADA Perak tidak berulang. Foto arkib NSTP
Annuar berharap kejadian mengejek ARMADA Perak tidak berulang. Foto arkib NSTP

Maafkan Pemuda BN - Annuar

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memohon maaf kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) susulan insiden wakil sayap pemuda parti itu diejek Pemuda BN, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berharap kejadian itu tidak berulang lagi dan menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada kerjasama setiap parti kerajaan dalam usaha untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

"Bila saya teliti, keadaan berlaku dalam galeri apabila ada kumpulan kecil yang secara spontan 'boo' tatkala nama ARMADA disebut.

"Saya harap perkara ini tidak berulang dan saya minta maaf atas keterlanjuran ini. Saya akan jumpa jentera parti di Slim petang ini dan fokus kita pada kerjasama semua parti dalam PRK ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Insiden mengejek itu berlaku ketika majlis pelancaran jentera Pemuda BN sempena PRK DUN Slim itu semalam apabila nama wakil ARMADA Perak di 'boo' ketika pemimpin BN menyebut nama sayap parti pemuda BERSATU dalam ucapan mereka.

Annuar turut menyambut baik kenyataan Ketua ARMDA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang tidak terasa hati dengan insiden itu dan tetap akan mengerahkan jentera membantu calon BN menang dalam PRK berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada ARMADA Perak yang memberikan jawapan matang ketika ditanya wartawan mengenai insiden itu.

"Kerjasama dengan BERSATU ini masih baharu. (Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akui ia tidak mudah dan akan memakan masa," katanya.

Berita Harian X