Sabtu, 15 Ogos 2020 | 11:55am
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. - Foto BERNAMA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. - Foto BERNAMA

Notis tuntutan itu tak bermakna - Zuraida

SUBANG: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengesahkan sudah menerima notis tuntutan saman dikemukakan PKR, Selasa lalu.

Notis itu bagi menuntut Zuraida dan 19 bekas wakil rakyat yang melompat parti baru-baru ini, ke mahkamah dan meminta mereka membayar RM10 juta setiap seorang.

Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR menegaskan beliau bagaimanapun enggan melayan sebarang tuntutan dikemukakan dalam notis berkenaan.

"Ada (terima notis tuntutan daripada PKR), saya sudah terima, Selasa lalu. Saya tidak akan ambil sebarang tindakan, surat itu tidak bermakna," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Julai lalu, PKR dilapor menuntut ganti rugi bernilai RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida.

Ganti rugi berkenaan dipersetujui jika mereka keluar parti dan menggunakan kerusi mereka bagi kepentingan sendiri serta berlawanan dengan kepentingan parti.

Selain Azmin dan Zuraida, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Turut berdepan tuntutan itu adalah Ali Biju (Saratok); Jonathan Yasin (Ranau); Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Afif Bahardin (Seberang Jaya); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Dalam pada itu, Zuraida menegaskan, beliau dan 19 bekas wakil rakyat PKR lagi adalah sebahagian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Kita sebahagian daripada BERSATU, sebab itu di Dewan Rakyat kami diletakkan sebagai ahli BERSATU. Ini (pendaftaran) cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami.

"Pada 22 Ogos ini, akan ada majlis besar untuk mengumumkan penyertaan kami dalam BERSATU," katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berita Harian X