Rabu, 12 Ogos 2020 | 11:02am
Bekas Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee. - Foto NSTP
Bekas Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee. - Foto NSTP

Surat bubar DUN Sabah silap - Yong Teck Lee

KOTA KINABALU: Datuk Yong Teck Lee mendakwa terdapat kesilapan dalam surat memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ditandatangani Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, surat itu tular di laman media sosial Twitter milik Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Beliau yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, surat tular bertarikh 29 Julai 2020 ditandatangani dan diserahkan Mohd Shafie kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menimbulkan kerisauan bahawa presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu melakukan kesilapan besar.

"Surat itu pertama kali muncul dalam ciapan akaun Twitter seorang Timbalan Ketua Menteri dan surat itu kononnya menasihati Tuan Yang Terutama untuk membubarkan DUN.

"Tetapi surat itu menasihati Tuan Yang Terutama untuk menyetujui pembubaran Dewan seperti yang terkandung dalam Pasal 10 (1) (2) (b) Perlembagaan Sabah.

"Yang pastinya, tidak ada Artikel 10 (1) (2) (b) yang dimaksudkan dengan Perlembagaan. Jadi, surat itu sendiri adalah satu kesalahan. Adapun Pasal 10 (2) (b), undang-undang ini memberikan kebijaksanaan kepada Tuan Yang Terutama untuk tidak membubarkan DUN," katanya.

Teck Lee menyimpulkan surat itu sebagai satu kesilapan besar kerana dihantar kepada Juhar tanpa meneliti peruntukan undang-undang berkaitan terlebih dahulu.

"Ini bermaksud bahawa surat Ketua Menteri adalah 'pai 'ulung'. Surat itu disampaikan kepada Tuan Yang Terutama untuk membubarkan DUN tetapi undang-undang yang dinyatakan dalam surat itu adalah untuk tidak membubarkan DUN.

"Adakah surat itu dibuat oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong?

"Persoalan ini timbul kerana Datuk Liew Vui Keong ialah peguam WARISAN yang terus mempertahankan tindakan pembubaran DUN," katanya.

Berita Harian X