Ahad, 9 Ogos 2020 | 2:18pm

26 Ketua BERSATU Bahagian di Johor kekal sokongan

ISKANDAR PUTERI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor menafikan dakwaan ahlinya 'memberontak' dan mahu menyertai parti baharu yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti yang dilaporkan sebuah portal.

Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata semua 26 Ketua Bahagian masih menyokong kerajaan dan pihaknya menjangkakan kira-kira lima peratus yang akan mengikut parti mantan Perdana Menteri itu.

Katanya, BERSATU Johor terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menyokong sebaliknya.

"Mengenai penubuhan parti Tun (Dr Mahathir) kita (BERSATU Johor) menghormati demokrasi dan tiada satu pun dalam perlembagaan undang-undang yang menghalang seseorang individu menubuhkan parti. Ini adalah amalan demokrasi yang berlaku di Malaysia.

"Kita faham Tun pun ada pengikutnya sendiri. Maklumlah dia seorang negarawan yang berkhidmat selama 22 tahun di Malaysia, dia ada sokongannya sendiri.

"Kalau ada sokongan pun, tidak sampai lima peratus yang ikut. Di Johor, adalah terkawal. 26 Ketua Bahagian masih bersama," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Khas DUN di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akur arahan daripada pusat, selain beliau mempunyai tanggungjawab memastikan 26 bahagian BERSATU terus menyokong bagi mengukuhkan kedudukan parti.

"Kita tidak nampak secara jelas di mana parti ini (parti baharu) akan duduk di gabungan mana. Kalau dia bebas dia tidak kuat. Mungkin akan ke arah kerajaan sedia ada Perikatan Nasional atau lebih propembangkang PH.

"Saya fikirkan kalau dia berdiri sendiri sebagai sebuah parti, tidak mungkin akan menang pilihan raya sebab amat sukar," katanya.

Berita Harian X