Selasa, 4 Ogos 2020 | 4:30pm
PH dan UPKO disaran gunakan logo WARISAN untuk hadapi PRN Sabah. Foto NSTP
PH dan UPKO disaran gunakan logo WARISAN untuk hadapi PRN Sabah. Foto NSTP

Pemuda AMANAH cadang guna logo parti WARISAN

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dicadang menggunakan logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Cadangan itu disuarakan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH, Khairuddin Daud sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong WARISAN di Sabah.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada WARISAN tetap mempertahankan mandat rakyat Sabah sehingga DUN dibubarkan meskipun terdapat tekanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu dan sekutunya dijangka memuktamadkan senarai penuh calon dan pengagihan kerusi bagi PRN pada minggu hadapan.

Beliau berkata, pihaknya bersama parti sekutu membincangkan beberapa perkara termasuk pembahagian kerusi dan senarai penuh calon sebagai persediaan menghadapi PRN.

Mohd Shafie membubarkan DUN Sabah pada Jumaat lalu selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, Khairuddin berkata, cadangan itu juga bagi menunjukkan solidariti parti sekutu WARISAN dalam mempertahankan mandat diberikan rakyat Sabah pada pilihan raya umum (PRU) lalu, sekali gus menolak pemimpin politik yang tidak berprinsip. - BERNAMA

Berita Harian X