Sabtu, 1 Ogos 2020 | 7:44pm
EXCO Armada Nasional BERSATU, Muzzammil Ismail (kanan) dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan. - Foto NSTP
EXCO Armada Nasional BERSATU, Muzzammil Ismail (kanan) dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan. - Foto NSTP

'Ketua Penerangan UMNO jangan celupar' - Armada BERSATU

PUTRAJAYA: Kata dua Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengundang selaran EXCO Armada Nasional BERSATU, Muzzammil Ismail.

Ketika mengungkap kata-kata 'jangan celupar' kepada Shahril, Muzzammil menegaskan yang kenyataan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, adalah hasrat parti itu, selain berdasarkan rekod baik wakil rakyatnya sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui serangan di media.

"Dua perkataan, 'Jangan Celupar' Ketua Penerangan UMNO

"Kenapa Shahril Hamdan melompat lebih, hanya kerana risau kerusi UMNO berisiko dipertandingkan oleh BERSATU?" katanya menerusi kenyataan menjawab kenyataan dikeluarkan Naib Ketua Pemuda UMNO itu.

Muzzammil turut mengingatkan Shahril bahawa UMNO 'rebah' di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada pengundi di Sabah sudah menerima UMNO secara mutlak ketika ini.

Beliau berkata, sebaik-baiknya kedua-dua parti, UMNO dan BERSATU, tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dengan berpecah belah.

"Pimpinan utama UMNO dan BERSATU kena jaga perkara ini dan jangan celupar. Parti Warisan Sabah (WARISAN) masih lagi mempunyai 'strong base' (tapak yang kuat) di Sabah.

"Muhasabah diri dan jangan terlalu ego. Kita kena bijak mengatur politik di sini. Jangan pula, menembak antara satu sama lain," katanya.

PRN Sabah akan dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan pada Khamis lalu.

Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas mendapat perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Krisis politik Sabah mencapai kemuncak, apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan sokongan beberapa ADUN yang melompat, pada Rabu lalu, mendakwa mempunyai sokongan majoriti membentuk kerajaan negeri.

Berita berkaitan:

  • 'Jangan mimpi, runding dahulu'
  • Berita Harian X