X
Jumaat, 6 March 2020 | 9:32pm
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim (duduk kanan) pada masyuarat khas PKR Johor di Pejabat PKR negeri. - Foto Omar Ahmad
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim (duduk kanan) pada masyuarat khas PKR Johor di Pejabat PKR negeri. - Foto Omar Ahmad

PKR Johor mahu ahli paling tadah keluar parti

JOHOR BAHRU: PKR Johor mahu ahlinya yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) supaya meninggalkan parti itu secara terhormat.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata tindakan itu akan memudahkan parti mengukuhkan kedudukan sebagai tunjang dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PKR tidak akan bertolak ansur dengan kesetiaan dan disiplin setiap ahli parti.

“Sebenarnya, ada empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR lagi yang masih teguh bersama parti dan mereka menunjukkan kesetiaan.

“Saya hendak maklumkan buat masa ini, tiada pengumuman ahli yang mahu keluar parti dalam PKR Johor.

“Tetapi kalau ada antara mereka yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional silalah keluar dengan cara terhormat, supaya dapat kita lihat di situ dengan jelas apa pendirian mereka,

kerana kita tidak mahu bertolak ansur dengan kesetiaan dan disiplin parti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Pejabat PKR Johor, di sini, hari ini.

Jelas Syed Ibrahim, tindakan bekas Adun Pemanis dari PKR, Dr Chong Fat Full yang melompat menjadi Bebas disifatkan sebagai mengkhianati amanat dan mandat rakyat di DUN berkenaan.

Beliau juga menyarankan pengundi PH di DUN Pemanis menggerakkan petisyen menolak Dr Fat Full sebagai ADUN mereka.

“Kita akan menggerakkan petisyen secara dalam talian atau atas kertas bagi menuntut Dr Chong meletakkan jawatan sebagai ADUN Pemanis, kerana secara terang-terangan mengkhianati mandat rakyat.

“Petisyen itu akan diberikan kepada Dr Chong sendiri supaya menunjukkan ada isyarat yang jelas, bahawa rakyat menolak (tindakan) dia,” katanya yang menegaskan Dr Chong antara 12 ahli PKR yang akan berdepan tuntutan RM10 juta.

Berita Harian X