Ahad, 16 Februari 2020 | 2:48pm

28 calon layak bertanding jawatan ketua bahagian BERSATU Kedah

ALOR SETAR: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah menyaksikan seramai 28 calon daripada sembilan bahagian bakal bertanding merebut jawatan ketua bahagian manakala enam bahagian diumumkan menang tanpa bertanding.

Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Kedah, Datuk A Aziz Mahamod, berkata pemilihan bermula di Sik semalam berjalan lancar apabila penyandang Ketua Bahagian Sik, Nazri Abu Hassan berjaya mengekalkan jawatannya selepas dicabar Mat Sabri Hamid.

“Sebelum ini, saya sudah umumkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Langkawi tanpa bertanding selain Ketua Bahagian Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut tidak dicabar.

“Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang merupakan penyandang Ketua Bahagian Kubang Pasu juga disahkan menang tidak bertanding termasuk tiga bahagian lagi iaitu Alor Setar, Pendang dan Kulim/Bandar Bahru,” katanya pada sidang media di Pejabat BERSATU di sini hari ini.

A Aziz berkata, pemilihan akan diteruskan di 15 bahagian lagi sehingga 29 Mac depan termasuk lapan bahagian yang bakal menyaksikan pertandingan iaitu di Pokok Sena, Jerai, Baling, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Terap dan Padang Serai.

Katanya, bahagian Merbok dan Kuala Kedah bakal memperlihat pertandingan lima penjuru.

A Aziz berkata, bekas Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian Jerai dan akan dicabar Akram Shah Mohd Gadafi Sanusi.

“Manakala usahawan Datuk Jawiyah Che Dan menjadi wanita tunggal yang bertanding tiga penjuru bagi jawatan Ketua Bahagian Padang Terap.

“Jawiyah bakal menentang penyandangnya, Syed Fadzil Syed Embun serta seorang lagi calon iaitu Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Nasional, Muzzammil Ismail turut menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, A Aziz berkata, seramai empat calon pula menawarkan diri bertanding Ketua Bahagian Baling, tiga calon di Sungai Petani dan masing-masing dua calon di Pokok Sena dan Padang Serai.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui terdapat beberapa masalah yang dihadapi pihaknya sebelum pemilihan itu berlaku antaranya keciciran ahli, calon tidak layak bertanding dan ada ahli yang bertukar bahagian.

“Bagaimanapun, saya berharap pemilihan akan berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini seperti baling kerusi atau mengeluarkan kata-kata kesat.

“Jangan cemarkan nama baik parti dengan isu seperti itu,” katanya.

Berita Harian X