Selasa, 11 Februari 2020 | 6:06pm

Saingan sengit pada pemilihan BERSATU Bahagian Kuala Terengganu, Sabtu ini

KUALA TERENGGANU: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) peringkat bahagian Kuala Terengganu, Sabtu ini dijangka sengit dalam usaha menghalang penguasaan ‘keluarga’ dalam parti itu.

Pada pemilihan itu, Ketua Penerangan Badan Pimpinan BERSATU negeri, Badrolhisham Mohamed @ Shafie menawarkan diri bertanding mencabar Ketua penaja BERSATU Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Zulkifli Mohamad.

Turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan ketua bahagian BERSATU Kuala Terengganu adalah Nordin Kamaruddin.

Anak Zulkifli yang juga bekas calon BERSATU di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Ahmad Zulhairi Zulkifli pula menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua bahagian pada persaingan satu lawan satu menentang Mohamad Zaki Sarbudin.

Seorang lagi ahli keluarga Zulkifli yang turut menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Srikandi adalah Hidatul Syuhada Ahmad Rozi.

Hidatul Syuhada akan dicabar Rosnawati Mohd Lazim dalam saingan satu lawan satu.

Mesyuarat bahagian itu juga akan menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan timbalan ketua bahagian membabitkan pertandingan tiga penjuru.

Mohd Kamaruddin Mohamad yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu akan ditentang Mohamed Azmi Ariffin dan Nik Zainal Nik Mohamed.

Bagaimanapun, jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap BERSATU bahagian Kuala Terengganu dimenangi tanpa bertanding oleh Masrul Amir Said dan Wan Chek Ngah.

Sebanyak 14 cawangan membabitkan 2,171 ahli BERSATU di bahagian Kuala Terengganu layak mengundi pada pemilihan Sabtu ini.

Berita Harian X