Isnin, 10 Februari 2020 | 5:03pm

Tiga bekas pemimpin UMNO layak bertanding Ketua Bahagian BERSATU

KUALA TERENGGANU: Tiga bekas pemimpin UMNO disahkan layak untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) negeri, pada pemilihan Sabtu depan.

Tiga bekas pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama di peringkat bahagian adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Rosli Mat Hassan dan Khazan Che Mat.

Rosol yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri akan menentang Mohd Laisani Dollah dan Zamani Mamat pada pertandingan tiga penjuru.

Bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit yang juga bekas Ahli EXCO Kerajaan negeri, Khazan Che Mat akan menentang Mohd Jamal Mohd Ali pada pertandingan satu lawan satu di bahagian Kuala Nerus.

Seorang lagi bekas Ketua Bahagian UMNO Dungun, Datuk Rosli Mat Hasan pula menawarkan diri bertanding Ketua BERSATU pada pertandingan tiga penjuru di bahagian Dungun.

Rosli akan dicabar dua lagi calon iaitu Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU negeri, Mohd Zaid Sulaiman dan Datuk Abdul Aziz Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti BERSATU negeri, Datuk Aziz Awang menjelaskan, seramai 416 calon daripada 446 yang menyerahkan borang bertanding pelbagai jawatan layak bertanding.

Jelasnya, hanya 30 calon tidak layak bertanding selepas proses saringan dilakukan Jawatankuasa Pemilihan Parti Pusat (JPPP).

Aziz (tengah) menunjukkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses saringan dilakukan JPPP. - NSTP/Baharom Bakar
Aziz (tengah) menunjukkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses saringan dilakukan JPPP. - NSTP/Baharom Bakar

“Punca utama calon ditolak disebabkan tidak menyertakan dokumen lengkap ketika menghantar borang pencalonan selain keahlian tidak cukup tempoh 12 bulan, ” katanya pada sidang media khas mengumumkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses saringan di Ibu Pejabat BERSATU negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Setiausaha JPP negeri, Ismail Zainal.

Aziz berkata, sebanyak 156 cawangan BERSATU di seluruh negeri membabitkan seramai 14,000 ahli parti layak untuk mengundi.

Berita Harian X