Khamis, 6 Februari 2020 | 4:26pm
MUKHRIZ (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingham Issace John (dua, kanan) meninjau kawasan tanaman getah ketika membuat lawatan kerja di Tapak Projek Pembangunan Kedah Rubber City (KRC) di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap, hari ini. - fotoBERNAMA

PAS tarik diri lepas tandatangan perjanjian dengan BERSATU

PADANG TERAP: Pertemuan antara pimpinan PAS dan BERSATU yang berlangsung sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak ada kaitan dengan ura-ura penggabungan Muafakat Nasional membabitkan kedua-dua parti tanpa DAP, PKR, dan Amanah.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pertemuan terbabit hanya membabitkan beberapa perjanjian berkaitan rancangan kerjasama menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 ketika itu.

Bagaimanapun, PAS menarik diri selepas perjanjian yang dipercayai pada 2017 itu ditandatangani. Ketika itu, BERSATU belum menjadi ahli Pakatan Harapan (PH).

"Bila sudah jadi begitu, maka kita terpaksa untuk terus (dan tetap) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (DAP, PKR, Amanah) dan kesudahannya, kita semua dah tahu," katanya ketika membuat lawatan ke tapak Kedah Rubber City (KRC) di sini, hari ini.

Semalam, PAS menegaskan tidak menyokong parti BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak sebelum dan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, berkata parti itu sebaliknya cuba bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum PRU-14.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, gesaan berhubung tiga jawatan tertinggi BERSATU tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu Jun ini, berkemungkinan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan datang.

“Saya tahu ada beberapa negeri yang cadangkan begitu, namun kurang manis untuk saya komen kerana saya seorang daripada tuan punya badan (pemegang jawatan).

“Jadi, saya rasa terpulang. Isu ini kita terbuka dan kalau itu ketetapan keahlian parti, jadi kita terima sajalah. Bagaimanapun, kita tetap amalkan demokrasi dalam parti dan kalau ada pertandingan pun, bertandinglah, ...tak apa,” katanya.

MUKHRIZ bersama Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor (kanan) melihat kawasan tanaman getah ketika membuat lawatan kerja di Tapak Projek Pembangunan Kedah Rubber City (KRC) di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap, hari ini. - foto BERNAMA

Terdahulu, beliau melawat tapak projek fasa pertama Kedah Rubber City (KRC) yang bakal membangunkan ekosistem lengkap bagi industri getah di kawasan pertumbuhan segi tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

Berita Harian X