Sabtu, 1 Februari 2020 | 9:50pm
SETIAUSAHA Badan Pimpinan BERSATU negeri, Mohd Zaid Sulaiman dicabar dua bekas pemimpin UMNO pada pertandingan tiga penjuru. - Foto ihsan BERSATU negeri
SETIAUSAHA Badan Pimpinan BERSATU negeri, Mohd Zaid Sulaiman dicabar dua bekas pemimpin UMNO pada pertandingan tiga penjuru. - Foto ihsan BERSATU negeri

Pertembungan tiga jawatan utama jadi perhatian

KUALA TERENGGANU: Pertembungan tiga jawatan utama menarik perhatian umum apabila menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada mesyuarat pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Dungun, pertengahan bulan ini.

Pertandingan merebut tiga jawatan utama BERSATU bahagian Dungun menjadi tumpuan pemerhati politik termasuk penyokong UMNO kerana dua bekas pemimpin parti itu turut menawarkan diri bertanding.

Perebutan jawatan ketua BERSATU Dungun dijangka menjadi tumpuan utama apabila Setiausaha Badan Pimpinan parti itu, Mohd Zaid Sulaiman dicabar dua bekas pemimpin UMNO pada pertandingan tiga penjuru.

Mohd Zaid yang menawarkan diri bertanding bagi mengisi kekosongan jawatan itu dicabar bekas Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO, Datuk Rosli Mat Hassan serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Dungun, Datuk Abd Aziz Ismail.

Jawatan ketua BERSATU bahagian Dungun kosong apabila bekas ketua penaja parti itu, Mohamad Ariff Ariffin, hanya menyerahkan borang menawarkan diri bertanding jawatan sebagai timbalan bahagian yang juga menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Selain Mohamad Ariff, turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan ketua BERSATU bahagian Dungun adalah Muhamad Razak Yaacob dan Amir Rosli Mohamad.

Turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru adalah jawatan Naib Ketua BERSATU bahagian Dungun apabila tiga calon menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Tiga calon yang menawarkan diri bertanding jawatan itu adalah Mohd Sallehuddin Said, Nasiruddin Mohamad dan Amirul Fadhli Che Ismail.

Pada pemilihan pertengahan bulan ini, sebanyak 33 cawangan BERSATU bahagian Dungun layak mengadakan mesyuarat pemilihan.

Berita Harian X