Sabtu, 28 Disember 2019 | 3:26pm
SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Annuar Musa kata Mohamed Apandi masih Pengerusi Jawatankuasa Disiplin

KUALA LUMPUR: UMNO menafikan sebarang campur tangan dalam hal ehwal Jawatankuasa Disiplin parti itu.

Malah, Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, bertegas Tan Sri Mohamed Apandi Ali, masih pengerusi jawatankuasa berkenaan walaupun dilaporkan meletakkan jawatannya pada Khamis lalu.

Annuar berkata jawatankuasa berkenaan adalah badan bebas yang menjalankan siasatan berhubung masalah disiplin dan melaporkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Katanya, beliau berharap semua pihak dapat menghormati kedudukan jawatan kuasa itu seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Adalah ditegaskan Jawatankuasa Disiplin adalah sebuah badan yang dibentuk berdasarkan perlembagaan parti dan bebas. Ia kekal sedemikian.

“Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan jawatankuasa itu akan dimurnikan apabila jawatankuasa itu bermesyuarat secara bebas dan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Adalah ditegaskan bahawa tidak benar wujud campur tangan dalam proses atau prosiding Jawatankuasa Disiplin. Mereka kekal bebas membuat siasatan dan melaporkan kepada MKT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk laporan media mengenai polemik peletakan jawatan Mohamed Apandi sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin parti.

Khamis lalu, BH melaporkan, Mohamed Apandi meletakkan jawatan sebagai Pengerusi jawatankuasa Disiplin UMNO berikutan keputusan pucuk pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Annuar mengesahkan Mohamed Apandi masih memegang jawatan Pengerusi jawatankuasa berkenaan kerana ibu pejabat parti tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripadanya.

“Saya telah berkesempatan menghubungi (Tan Sri) Apandi Ali, dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara.

“Saya telah diberi sedikit gambaran apa yang telah berlaku dan bersetuju perkara ini perlu dibincang secara tertib apabila beliau pulang dari bercuti.

“Terdapat beberapa kekeliruan berkaitan perkara yang dibangkitkan dan perkara ini boleh dibincangkan apabila Apandi pulang semula ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah mencadangkan parti mengambil tindakan tegas ke atas ahli MKT, Datuk Lokman Noor Adam dengan memecatnya kerana membuat tuduhan jahat terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya tuduhan Lokman adalah melampau dan keterlaluan yang secara tidak langsung mengaibkan pucuk pimpinan parti.

Katanya, Lokman umpama parasit ataupun anai-anai dalam UMNO yang cuba meruntuhkan keutuhan dan perpaduan parti selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Ini bukan kali pertama serangan secara terbuka Lokman terhadap kepemimpinan parti, bahkan pelbagai tuduhan beliau lemparkan terhadap kepimpinan UMNO termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO,” katanya

Berita Harian X