Jumaat, 20 Disember 2019 | 6:51pm
PESURUHJAYA PAS Negeri, Kamaruddin Sidek (kiri) ketika mengadakan sidang media di Pejabat PAS, Semabok. NSTP/Rasul Azli Samad
PESURUHJAYA PAS Negeri, Kamaruddin Sidek (kiri) ketika mengadakan sidang media di Pejabat PAS, Semabok. NSTP/Rasul Azli Samad

PAS Melaka desak Saminathan diganti

MELAKA: PAS Melaka mendesak EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G Saminathan yang ditahan pihak berkuasa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) sejak 10 oktober lalu, digantikan segera.

Pesuruhjayanya, Kamaruddin Sidek, berkata ia susulan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka kelmarin menolak permohonan jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu yang disiasat atas dakwaan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya, PAS Melaka juga menuntut diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan DUN yang diwakili Saminathan.

“Penahanan ADUN Gadek sudah berlarutan lebih dua bulan atas dakwaan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan perjuangan kumpulan LTTE. Bagaimana dengan isu dan kebajikan rakyat serat pengundi di DUN Gadek?

“Sehubungan itu, kita mendesak Saminathan digantikan segera bagi jawatan EXCO, selain PRK diadakan di DUN Gadek untuk memberi semula mandat kepada rakyat memilih wakil rakyat baharu kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Melaka, di sini hari ini.

Media pada 29 Oktober lalu melaporkan Saminathan, 34, bersama ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE, pada November 2018.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di Melaka, pada jam 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Berikutan itu, portfolio disandang Saminathan dalam kerajaan negeri dipangku Pengerusi DAP Melaka yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, PAS dan UMNO Melaka merancang mengadakan pungutan suara untuk mendapat maklum balas penduduk DUN Gadek susulan penahahan Saminathan.

“Ini bukan soal desakan politik dan emosi semata-mata, tetapi mengambil kira isu moral berhubung kebajikan penduduk di DUN Gadek kerana tiada ADUN yang efektif mewakili mereka," katanya.

Katanya, bermula awal tahun depan, PAS dan UMNO negeri akan turut mempergiatkan siri penerangan serta isu kebajikan di negeri ini, khususnya di DUN Gadek.

Berita Harian X