SHAH ALAM: Peluang Mohamad Sabu untuk mempertahankan jawatan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) buat penggal kedua, dijangka cerah apabila dipilih dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti bagi sesi 2019-2022, malam ini.
Menteri Pertahanan itu antara 87 calon yang layak bertanding bagi mengisi jawatan 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional.
Ahli Parlimen Kota Raja itu memperoleh 681 undi. Seramai 822 perwakilan mengambil bahagian dalam pemilihan menggunakan sistem e-voting.
Pemilihan itu menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memperoleh undi tertinggi dengan 786 undi, diikuti Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Hatta Ramli; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Turut tersenarai, bekas Naib Presiden, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah; dan EXCO Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung, Anuar Tahir yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, tewas dalam pemilihan kali pertama itu.
Pemilihan malam ini turut membabitkan jawatan Speaker dan Timbalan Speaker yang masing-masing dimenangi Yuhaizad Abdullah dan Adnan Saad.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Nasional, Dr Zulqarnain Lukman, berkata berdasarkan Fasal 16 perlembagaan parti, Speaker yang baru dipilih akan memanggil satu mesyuarat membabitkan 27 AJK Pimpinan Nasional yang baru dipilih bersama Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Muda serta 14 Pengerusi negeri selepas selesai pemilihan.
Beliau berkata, mesyuarat itu akan memilih dan menentukan calon yang layak menduduki jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden untuk tempoh tiga tahun.
Keputusan bagi jawatan berkenaan akan diumumkan pagi esok.
INFO
Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara 2019-2022
Speaker : Yuhaizad Abdullah
Timbalan Speaker : Adnan Saad
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional
1. Khalid Abd Samad
2. Datuk Mahfuz Omar
3. Datuk Seri Salahuddin Ayub
4. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
5. Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli
6. Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
7. Mohamad Sabu
8. Adly Zahari
9. Dr Siti Mariah Mahmud
10. Datuk Raja Bahrin Raja Kamarulzaman
11. Faiz Fadzil
12. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
13. Datuk Mazlan Aliman
14. Nik Omar Nik Abdul Aziz
15. Datuk Hasanuddin Mohd Yunus
16. Suhaizan Kaiat
17. Zolkharnain Abidin
18. Ridzwan Abu Bakar
19. Asmuni Awi
20. Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
21. Mohamed Hanipa Maidin
22. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus
23. Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi
24. Mohd Sany Hamzan
25. Mariam Abdul Rashid
26. Prof Dr Ahmad Termizi Ramli
27. Muhaimin Sulam
Jumlah perwakilan mengundi : 822