Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:32pm
PENGERUSI DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew hadir pada Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Transformasi Pengurusan Bahan Rujukan Khazanah Warisan Negara Secara Bersepadu 2019 di Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
PENGERUSI DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew hadir pada Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Transformasi Pengurusan Bahan Rujukan Khazanah Warisan Negara Secara Bersepadu 2019 di Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Ketua Menteri tentukan kedudukan ADUN Gadek

AYER KEROH: DAP Melaka menyerahkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari menentukan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan selepas didakwa di mahkamah kerana memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew, berkata keputusan itu termasuk portfolio EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang disandang Saminathan dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Melaka.

“Saya yakin Ketua Menteri Melaka akan buat keputusan terbaik untuk kita semua termasuk wakil rakyat itu, penduduk dan pengundi di Gadek. Hal sama termasuklah portfolio yang disandang beliau.

“Kita berpegang kepada konsep ‘rule of law’ iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah,” katanya pada sidang media selepas mewakili Adly pada Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Transformasi Pengurusan Bahan Rujukan Khazanah Warisan Negara Secara Bersepadu 2019 di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Khali Aziz Hamzah.

BH semalam melaporkan, Saminathan bersama seorang lagi ADUN Negeri Sembilan antara tiga individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, di negeri ini, November tahun lalu.

ADUN Gadek berusia 34 tahun itu turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan berkenaan.

Sembilan lagi individu turut dikenakan pertuduhan sama di mahkamah di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor, semalam.

Mengulas lanjut, Kok Kiew yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, berkata beliau tiada masalah untuk memangku tugas Saminathan sekiranya diperlukan berbuat demikian.

“Sebelum ini pun saya sudah menjalankan tanggungjawab diamanahkan termasuk mengendalikan isu air di Gadek. Saya fikir, seluruh pasukan EXCO dan ADUN kerajaan PH Melaka bergerak dalam satu pasukan untuk menangani isu berkenaan.

“Di peringkat parti, kita sebelum ini memang sudah membuat mesyuarat. Kita yakin kebenaran akan ditegakkan,” katanya.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan membangkitkan status ADUN Gadek dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, Kok Kiew berpendapat yang ia bukan suatu isu memandangkan kes itu sudah dibawa ke mahkamah.

Berita Harian X