Ahad, 27 Oktober 2019 | 1:01pm
Timbalan Pengerusi Pemuda SUPP, Andrew Victor Nub. - NSTP/Melvin Joni
Timbalan Pengerusi Pemuda SUPP, Andrew Victor Nub. - NSTP/Melvin Joni

DUN Mambong milik tradisi SUPP

KUCHING: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian presiden parti, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong milik SUPP.

Timbalan Pengerusi Pemuda SUPP, Andrew Victor Nub, berkata kawasan itu dimiliki secara tradisi oleh SUPP.

“Sudah tentu, sesiapa sahaja boleh pergi tetapi kerusi itu dimiliki oleh pihak asal,” katanya dalam menyokong kenyataan Sim sebagai respons kepada keputusan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) menerima ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil untuk menyertai parti itu.

Victor berkata, Dr Jerip bebas memilih menyertai mana-mana parti komponen GPS berikutan peletakan jawatannya dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), namun kerusi Mambong harus kekal milik SUPP dan ditandingi calon SUPP.

“Walaupun beliau sekarang bersama PBB, saya yakin keputusan oleh pimpinan PBB untuk membolehkan rakyat di Mambong mempunyai akses kepada dana pembangunan dari GPS kerana hanya ADUN GPS dapat mengagihkan dana dari kerajaan negeri bagi pembangunan kawasan mereka.

“Namun apabila pilihan raya negeri (PRN), SUPP patut diberi mandat mewakili GPS di Mambong kerana kerusi itu dimiliki oleh parti kami secara tradisinya sejak ia wujud,” katanya.

Menurut Andrew, yang juga Ketua Pemuda SUPP Mambong, pengagihan kerusi dalam GPS harus dilakukan secara adil untuk keempat-empat parti komponennya.

Beliau berkata, SUPP bekerjasama dengan rakyat dan parti komponen GPS lain di Mambong sejak pilihan raya negeri yang pertama apabila daerah itu ditubuhkan pada pilihan raya 1970, dinamakan sebagai Bengoh pada masa itu.

Justeru, beliau menegaskan SUPP Mambong bersedia untuk mewakili GPS bertanding di DUN Mambong pada pilihan raya negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berita Harian X