Khamis, 9 Mei 2019 | 11:50am
Antara kawasan di pusat bandar Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin
Antara kawasan di pusat bandar Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin

Ribut petir diramal pada petang hari mengundi

SANDAKAN: Cuaca cerah diramal pada sebelah pagi, manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Ambun Dindang, berkata suhu pula diramal antara 25 darjah Celsius hingga 32 darjah Celsius.

“Ribut petir dijangka berlaku antara jam 2 petang hingga 4 petang tetapi suhu pada waktu itu diramal agak tinggi iaitu antara 32 darjah Celsius hingga 34 darjah Celsius,” katanya, di sini, hari ini.

Sebanyak 21 pusat mengundi membabitkan sebanyak 92 saluran disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK Parlimen Sandakan Sabtu ini, masing-masing dibuka mulai jam 7 pagi hingga 5 petang.

Seramai 39,684 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRK itu bagi memilih Ahli Parlimen baharu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, Ambun berkata ketika ini Sabah masih mengalami cuaca panas dengan suhu antara 32.6 darjah Celsius hingga 34.8 darjah Celsius.

Bagaimanapun, katanya setakat ini Sabah belum mengalami gelombang haba iaitu satu situasi panas melampau dengan suhu lebih 35 darjah Celsius.

Berita Harian X