Isnin, 18 Februari 2019 | 6:16pm

UMNO ingin 'kahwin', PAS hanya mahu 'berdua'

HULU LANGAT: Kelompok veteran PAS dan UMNO dilihat berbeza pendirian berhubung tahap kerjasama antara dua parti pembangkang itu, khususnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Dalam satu sidang media di sini hari ini, Assabiqun (Veteran) PAS lebih selesa menyifatkan hubungan parti Islam itu dengan UMNO, sebagai kerjasama berasingan antara dua pihak.

Bagaimanapun, Veteran UMNO pada sidang media sama pula melihat kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu pada PRK DUN Semenyih, sebagai persediaan untuk kedua-dua parti itu ‘bernikah dan berkahwin’.

Pengerusi Assabiqun (Veteran) PAS, Subky Abdul Latif , berkata pihaknya enggan melihat kerjasama antara PAS dan UMNO, terutamanya pada PRK ini sebagai penyatuan.

“Saya tak nak cakap (kerjasama PAS dan UMNO) ini soal bersatu. Saya suka cakap ‘berdua’, bahawa PAS dan UMNO akan berdua hingga satu waktu apabila PAS dan UMNO membuat satu keputusan,” katanya.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub pula menegaskan gerak kerja pihaknya pada PRK DUN Semenyih adalah ke arah ‘pernikahan dan perkahwinan’ kedua-dua parti.

“Kita bermula ibarat lelaki dan perempuan yang mula berkenalan dan malu-malu kucing di Sungai Kandis, kemudian terus ke Seri Setia yang kemesraannya semakin terserlah.

“Seterusnya ke Port Dickson, kemudian (hubungan) meningkat di Cameron Highlands, yang ketika itu pada kami sudah masuk merisik.

“Di Semenyih ini, kita dah peringkat bertunang, tunggu nak nikah dan kahwin. Bila waktunya terpulang pada pucuk pimpinan, tapi kami buat kerja ke arah pernikahan dan perkahwinan itu, demi bangsa dan agama,” katanya.

Subky bagaimanapun menjelaskan hubungan antara kedua-dua parti itu bukan sahaja diingini oleh UMNO, sebaliknya turut diimpikan PAS.

“Saya tak pernah fikir akan hadir perjumpaan dengan orang UMNO. Kalau boleh, tengok pun tak nak. Sekarang kalau UMNO tak nak, saya nak,” katanya.

Sementara itu, Mustapha menegaskan kerjasama antara UMNO dan PAS tetap berterusan dan kekal utuh, tidak seperti digambarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK DUN Semenyih.

“Buktinya adalah hari ini, kita berjaya laksanakan mesyuarat bersama antara veteran UMNO dan Assabiqun PAS yang menjadi langkah pertama ke arah kerjasama lebih erat, khususnya antara dua veteran parti seluruh negara,” katanya.

Subky pada sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional Plaza Dato Mohd Said, Pelangi Semenyih 2. - NSTP/Asyraf Hamzah
Subky pada sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional Plaza Dato Mohd Said, Pelangi Semenyih 2. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X