Khamis, 20 Disember 2018 | 5:02pm
NAWI Mohamad. - NSTP/Ghazali Kori
NAWI Mohamad. - NSTP/Ghazali Kori

3 ADUN Besut iltizam kekal bersama UMNO

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang keluar parti untuk menyertai parti lawan dianggap sebagai pengkhianat kepada pengundi dan ahli parti peringkat akar umbi.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad, berkata Ahli Parlimen dan ADUN serta anggota MT yang keluar UMNO dan menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan jawatan kerana kemenangan diperoleh pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah hasil sokongan dan kepercayaan diberikan pengundi serta ahli parti.

Katanya, kedudukan sebagai pemimpin utama UMNO peringkat Bahagian serta negeri juga ditentukan ahli parti peringkat akar umbi dan bagi menjaga maruah, mereka perlu melepaskan jawatan supaya mandat dikembalikan kepada pengundi untuk membuat pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Tiga ADUN di kawasan parlimen Besut termasuk Datuk Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut) akan terus setia bersama UMNO walaupun pelbagai tawaran diterima jika bersetuju menyertai parti dalam PH.

“Kesepakatan untuk terus bersama UMNO itu dicapai pada mesyuarat jawatan kuasa parti peringkat Bahagian Besut yang diadakan Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nawi yang juga ADUN Hulu Besut, mengakui beliau dan dua rakannya, Muhammad Pehimi serta Tengku Zaihan, ada menerima tawaran termasuk akan dilantik jawatan tertinggi dalam PH pada peringkat Bahagian, tetapi memutuskan untuk terus bersama UMNO.

Ketika mengulas dakwaan mengatakan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, juga akan keluar parti serta menjadi ahli parlimen bebas, Nawi berkata bekas Menteri Pengajian Tinggi itu sudah membuat penafian dan berjanji untuk terus setia bersama UMNO walaupun tidak memegang sebarang jawatan peringkat Bahagian.

“Kami yakin Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu tidak mudah melatah untuk keluar UMNO dan menyertai parti lawan,” katanya.

Mengulas pelantikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, memangku tugas sebagai presiden parti, Nawi berkata UMNO bahagian Besut akan terus memberi kerjasama untuk pengukuhan parti.

Berita Harian X