Rabu, 19 Disember 2018 | 2:09pm
KHAIRY Jamaluddin
KHAIRY Jamaluddin

Najib sebagai Ketua Pembangkang, idea kurang bernas - KJ

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menganggap cadangan untuk membawa masuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bagi mengambil alih tugas sebagai Ketua Pembangkang sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti sebagai idea yang kurang bernas.

Menerusi catatan terbaru di laman Twitter beliau, mantan Ketua Pemuda UMNO juga meminta orang ramai supaya jangan menyebarkan berita palsu yang belum tentu kesahihannya.

“Jangan sebarkan fake news. Tak ada orang yang akan memberi cadangan bingai macam ni.

“Saya yakin @LokmanAdam pun tak bongap macam ni. Eh,” katanya yang turut mengulang ciapan sebuah portal berita, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam, mengemukakan cadangan supaya Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Presiden UMNO bercuti.

Menurut Lokman, dalam situasi kritikal begini, UMNO memerlukan khidmat seorang pemimpin berpengalaman dan dihormati oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum melompat mahupun yang sudah melompat.

“Perlantikan ini sangat penting bagi memastikan kestabilan UMNO memandangkan lebih dari separuh ahli UMNO yang mengundi Ahmad Zahid sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan

“Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sekalipun tidak pernah mempertahankan Presiden ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti,” katanya.

Berita Harian X