Ahad, 16 Disember 2018 | 2:55pm
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Zain Ahmed
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Zain Ahmed

Adakan mesyuarat MKT segera bagi tentukan hala tuju kepimpinan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggesa kepemimpinan tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) segera.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, mesyuarat terbabit akan menentukan hala tuju kepemimpinan ketika UMNO berdepan saat genting sekali gus, krisis dalam parti diselesaikan segera.

‘“Dalam situasi yang penuh tidak ketentuan dan kebimbangan, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO untuk segera memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat. Apakah langkah dan ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap!,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau merujuk desakan dalaman dan luar UMNO yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dalam tempoh masa 10 hari.

Krisis dalaman UMNO memuncak apabila bekas enam Ahli Parlimen UMNO mendesak Zahid meletak jawatan kerana gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden walaupun UMNO sedang menghadapi masalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat khususnya orang Melayu.

Mengulas dakwaan pertemuan rahsia melobi pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Hishammuddin menafikan berita itu.

“Tiada pertemuan rahsia dengan Azmin Ali. Beliau kawan rapat saya sudah 30 tahun. Kami sentiasa berjumpa. Semua orang tahu hal itu,” katanya dalam status yang dimuat naik di Twitter.

Portal tempatan melaporkan Ahli Parlimen UMNO yang keluar beramai-ramai hampir memecahbelahkan UMNO berpunca daripada perang proksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, proksi dua pemimpin berpengaruh itu ‘berkelahi’ dengan satu pihak mahu Dr Mahathir kekal mentadbir negara manakala, satu pihak lagi mahu janji Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan dikotakan.

Ahli MKT UMNO, Datuk Alwi Che Ahmad dilaporkan berkata, krisis ini berlanjutan apabila ada ahli UMNO tidak bersetuju dengan tindakan terbuka pro-Anwar yang cuba melobi sokongan politik secara terang-terangan.

Berita Harian X