Jumaat, 14 Disember 2018 | 5:01pm
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Rosela Ismail
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Rosela Ismail

10 hari tempoh untuk Zahid letak jawatan

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti hari ini mendesak Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mewakili mereka berkata, Ahmad Zahid gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden walaupun UMNO sedang menghadapi masalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat khususnya orang Melayu.

Beliau berkata, jika Ahmad Zahid enggan, akan berlaku gelombang ketiga untuk ahli parlimen keluar daripada parti selepas empat orang ahli parlimen dari Sabah berbuat demikian dua hari lalu.

"Kami berpendapat Ahmad Zahid gagal menetapkan hala tuju parti dalam keadaan sekarang dan wajar bagi beliau melepaskan jawatan.

"Ia juga berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid menyebabkan ahli dan rakyat khususnya Melayu tidak yakin dengan kepemimpinan beliau untuk membawa UMNO menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya dalam pertemuan ekslusif bersama NSTP di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, kumpulan keluar parti hari ini, seperti juga ahli parlimen UMNO kelmarin menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan negara dan rakyat.

Ditanya mengenai gelombang ketiga itu, beliau difahamkan seramai sepuluh lagi ahli parlimen akan berbuat demikian jika Ahmad Zahid terus kekal sebagai presiden dalam tempoh sepuluh hari akan datang.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, mereka belum membuat keputusan mengenai masa depan politik masing-masing termasuk sama ada menyertai mana-mana parti politik termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, buat masa ini mereka hanya mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan dan UMNO boleh mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk memilih presiden dan barisan kepemimpinan yang baharu.

Hamzah antara enam Ahli Parlimen UMNO yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Lima orang yang lain adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengulas lanjut mengenai prestasi Ahmad Zahid sebagai 'pengemudi' UMNO, Hamzah berkata, sejak parti itu bergelar pembangkang susulan tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tidak ada langsung Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyentuh soal hala tuju parti.

Katanya, ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu pun Ahmad Zahid tidak ada menyatakan hala tuju UMNO.

Malah, katanya, selepas perhimpunan itu pun, Ahmad Zahid dilihat masih gagal mengetengahkan apakah hala tuju parti di hadapan ahli UMNO.

"Dalam pemilihan parti, saya tidak bersama presiden dan saya pernah maklumkan kepada beliau (Ahmad Zahid) janganlah bertanding sebagai presiden.

"Sebab, kalau ada apa-apa masalah nanti beliau tidak boleh fokus. Jadi, saya minta beliau tanding Timbalan sahaja. Tidak apalah, selepas beliau menang (jawatan presiden), saya dapati ramai ahli UMNO marah.

"Ada yang rasa kurang senang apabila tiada hala tuju dalam ucapan sama ada dalam Perhimpunan Agung UMNO dan selepas itu. Banyak perkara yang kita nampak berdolak-dalik dan juga timbul perasaan kurang senang," katanya.

Menurut Hamzah, jadi apa yang beliau lakukan bersama Ahli Parlimen lain adalah mengadakan perbincangan tanpa Ahmad Zahid mengenai bagaimana kaedah untuk memastikan UMNO dipercayai rakyat dan ahli.

Beliau berkata, cara paling drastik diambil apabila ramai Ahli Parlimen UMNO meluahkan pendapat, langkah paling 'efisien' adalah menukar tampuk kepemimpinan parti.

"Rakan Ahli Parlimen berbincang apakah cara untuk kita pastikan supaya UMNO ini dipercayai ahli dan juga rakyat secara keseluruhan. Ramai katakan, jalan yang mudah adalah tukar sahaja teraju kepemimpinan.

"Jadi, kita bincang...kita kena bagi tekanan supaya presiden letak jawatan. Mungki

n akan ada yang pertikai, kenapa presiden patut letak jawatan?.

"Kita ambil keputusan untuk keluar parti untuk tunjukkan kita tidak boleh lagi. Kita letak tekanan dengan cara ini dan makin lama makin tiada sokongan dalam parti.

"Kalau Ahmad Zahid terus jadi presiden, beliau hanya membawa satu persepsi kurang baik. Saya sudah berjumpa ramai orang, mereka mengatakan UMNO tidak akan bangkit dengan kepemimpinan macam ini. Sebab itu mereka tidak mahu sokong BN sama ada daripada orang Melayu atau Cina," katanya.

Berita Harian X