Isnin, 12 November 2018 | 6:32pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Ahmad Zahid perlu undur untuk selamatkan UMNO

REMBAU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu undur diri daripada jawatannya jika mahu parti itu terus hidup dan diterima semula oleh rakyat.

Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Nasrudin Mohammed, berkata keberanian ahli bersuara meminta Ahmad Zahid bercuti jelas menggambarkan kedudukan beliau dalam parti hanya akan memburukkan keadaan.

Katanya, sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu terus berada dalam kepimpinan tertinggi parti, ia dibimbangi lebih ramai pemimpin dan ahli bertindak keluar UMNO.

“Ahmad Zahid perlu undur sekarang untuk selamatkan UMNO kerana keberanian ahli menyuarakan pendapat secara terbuka sudah memberi isyarat jelas. Saya melihat ahli UMNO sudah berani membuat keputusan dan menyanggah sentimen konvensional.

“Malah, darjah kuasa terhadap pemimpin tertinggi juga semakin rendah menyebabkan ahli berani bersuara dan menegur pemimpin berbanding sebelum ini darjah kuasa terlalu tinggi menyebabkan mereka sanggup mempertahankan pemimpin,” katanya.

Rektor Kampus UiTM Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan dan perjuangan UMNO kini yang dilihat semakin goyah selepas beberapa pemimpin lompat parti.

Selain itu, ditanya mengenai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau berpendapat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu adalah individu yang dilihat mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Tok Mat (Mohamad) antara pemimpin yang menjadi harapan oleh kebanyakan orang Melayu khususnya ahli untuk memperkukuhkan kembali parti kerana pemimpin lain seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, sudah tinggalkan UMNO.

“Apa yang kita bimbang, ramai lagi akan menyusul (keluar parti) dan tinggalkan Tok Mat yang masih setia dan terkontang-kanting (pertahankan UMNO). Jika itu berlaku, ia amat menyedihkan,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu harus dielakkan berlaku kerana UMNO perlu kekal sebagai institusi sosial yang membela nasib kaum Melayu.

Berita Harian X