Sabtu, 27 Oktober 2018 | 4:34pm
AHLI PKR pada proses pengundian bagi pemilihan Ketua PKR Cabang Tapah, di Dewan Serbaguna Al Mukmin, Kampung Batu Tiga berdepan masalah menerusi sistem pengundian namun berjalan seperti biasa tanpa sebarang provokasi. - NSTP/Farah Suhaidah Othman
AHLI PKR pada proses pengundian bagi pemilihan Ketua PKR Cabang Tapah, di Dewan Serbaguna Al Mukmin, Kampung Batu Tiga berdepan masalah menerusi sistem pengundian namun berjalan seperti biasa tanpa sebarang provokasi. - NSTP/Farah Suhaidah Othman

Pengundi merungut lewat giliran mengundi

TAPAH: Segelintir ahli PKR Cabang Tapah tidak berpuas hati kerana mendakwa terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan giliran mengundi menerusi sistem e-undi.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 50-an, berkata, dia tiba di Dewan Serbaguna Al-Mukmin, Kampung Batu Tiga, Jalan Pahang, di sini, jam 8 pagi, namun pusat mengundi hanya dibuka dua jam kemudian.

“Saya bukanlah larat sangat tetapi datang sini seawal jam 8 pagi namun mengecewakan kerana terpaksa menunggu lama dan kepanasan semata-mata untuk mengundi.

“Tidak pasti apa yang membuatkan kami terpaksa beratur panjang namun kelemahan sebegini perlu diperbaiki kerana ia agak menyusahkan terutama kepada pengundi yang terpaksa membawa anak kecil,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan, hari ini.

Selain memilih pimpinan pusat, pemilihan cabang itu menyaksikan pertembungan antara Ketua Srikandi PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail dan Mohamed Zubir Nor bagi merebut jawatan ketua cabang.

Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Suhana, 34, berkata dia dan suaminya terpaksa beratur lama untuk mengundi.

“Saya dan suami terpaksa bergilir-gilir jaga anak. Saya beratur lebih kurang satu jam untuk mengundi, kemudian suami pula beratur sebelum membuat perkara sama.

“Kalau tidak ada kesabaran, itu yang boleh bergaduh sampai bertumbuk sebab terpaksa menunggu lama sangat,” katanya.

PKR Cabang Tapah mempunyai 2,689 ahli dan setakat jam 12.30 tengah hari lebih 50 peratus ahli sudah keluar mengundi.

Ketua Penerangan PKR Perak yang juga calon ketua cabang berkenaan, Siti Aishah, berkata kelewatan selama sejam disebabkan oleh anggota RELA yang sepatutnya ditugaskan di lokasi berkenaan tidak hadir.

Katanya, bagaimanapun hasil rundingan, calon bertanding memutuskan pusat pemilihan itu perlu diteruskan pada jam 10 pagi dengan dibantu kehadiran anggota polis dari balai berhampiran.

“Sebaik pusat pemilihan dibuka pada jam 10 pagi, kita terpaksa menangguhkan proses mengundi lebih kurang 15 minit berikutan Tab yang digunakan itu (untuk sistem e-undi) tidak menggunakan format asal sebaliknya sudah diubah.

“Jadi kita minta tangguh dan ditangguhkan oleh ketua pengawas (JPP). Mereka selesai kira-kira jam 10.20 pagi dan bersetuju untuk meneruskan proses pemilihan,” katanya.

Berita Harian X