Jumaat, 26 Oktober 2018 | 11:13pm
ASYRAF Wajdi Dasuki - Foto ASYRAF HAMZAH
ASYRAF Wajdi Dasuki - Foto ASYRAF HAMZAH

Terima kasih, dia mempopularkan saya - Asyraf

KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki tidak terkejut dengan kenyataan berbentuk mencabar oleh anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda kerana beliau yakin ahli UMNO bijak membuat penilaian.

Asyraf, sebaliknya melahirkan rasa sukacita dengan kenyataan dan pesanan dalam bentuk video dimuat naik Lokman dalam laman sosial Facebook beliau terhadap dirinya itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Lokman, kerana beliau membuatkan saya popular,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, selepas mesyuarat pemuda UMNO di ibu negara, Asyraf menggesa Zahid supaya bercuti kerana berdepan pertuduhan di mahkamah.

Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Susulan itu, dalam video berdurasi kira-kira 10 minit itu, Lokman dengan nada serius menuntut Asyraf meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda agar beliau boleh mencabarnya dalam pemilihan semula.

Lokman turut menyifatkan Asyraf sebagai ketua pemuda yang gagal.

“Ketua pemuda UMNO sepatutnya menjadi kepala dalam memperjuang nasib rakyat, dalam mempertahankan agama Islam, hak Melayu, bahasa Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

“Malangnya ketika presiden kita ditindas dan ditekan oleh Mahathir, kita pula menjadi bangsat dan meminta presiden untuk bercuti. Agenda siapa ini, Asyraf?” katanya dalam video berkenaan.

Sehingga jam 10 malam ini, video berkenaan mendapat lebih 35,000 tontonan.

Asyraf berkata, biar apapun kenyataan dikeluarkan Lokman, beliau yakin ia tidak menjejaskan sokongan ahli UMNO yang sudah matang, malah tetap berpegang kepada kenyataan beliau sebelum ini, bahawa gesaan dilakukan itu, semata-mata memberi peluang kepada Ahmad Zahid menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

“Apa-apa pun, kita serahkan kepada sistem demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya ringkas.

Ahmad Zahid dalam reaksi berkenaan malam ini, bagaimanapun menegaskan tidak akan berundur, sebaliknya mengambil keputusan untuk terus mengemudi UMNO bersama barisan kepemimpinan yang ada sekarang.

“Mengalah bukan satu opsyen... saya mengambil keputusan untuk terus menggalas kepemimpinan UMNO bersama-sama Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung (Tan Sri Annuar Musa) serta kepemimpinan sayap,” katanya.

Berita Harian X