Jumaat, 26 Oktober 2018 | 7:20pm
MOHAMAD Hasan - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
MOHAMAD Hasan - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

MKT UMNO putus nasib Ahmad Zahid dengan matang - Mohamad

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengambil kira semua pandangan secara matang, bijaksana dan berhikmah apabila membincangkan kedudukan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan dengan 45 tuduhan di mahkamah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata MKT akan melakukan yang terbaik dalam membincangkan polemik ini dan memastikan keputusan yang adil dapat dicapai khusus kepada Ahmad Zahid, UMNO dan perjuangan parti.

“Saya menyeru semua ahli dan pemimpin UMNO berlapang dada dan rasional terhadap pendirian serta ketetapan Pemuda UMNO agar Presiden UMNO bercuti daripada jawatannya sehingga semua kes dan pertuduhan yang dihadapinya selesai.

“Pendirian dan ketetapan sedemikian adalah keputusan bersama kepimpinan Pemuda UMNO, maka atas semangat demokrasi dan kematangan, kita tidak seharusnya mengikut emosi dalam reaksi kita terhadap pendirian dan kenyataan mereka.

“Saya memberi jaminan MKT UMNO akan mengambil kira semua pandangan secara matang, bijaksana dan berhikmah apabila perkara ini dibincangkan kelak.

“Insya-Allah MKT akan melakukan yang terbaik dalam usaha membuahkan keputusan yang adil kepada Presiden, UMNO dan perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi entri di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan kedudukan Ahmad Zahid sama ada perlu berehat sementara atau tidak susulan berdepan 45 tuduhan pecah amanah dan rasuah hanya boleh ditentukan MKT.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, ruang perlu diberikan untuk Pemuda UMNO menjelaskan asas dan landasan kepada ketetapan dibuat pergerakan itu.

Katanya, UMNO mesti membenarkan semua pandangan diutarakan, dinyatakan dan diucapkan serta tidak boleh mempunyai satu cerita, satu jalan dan satu pandangan.

“Hanya melalui perbezaan pandangan dan idea, keputusan berhikmah akan terjelma. UMNO mesti menjadi parti penengah dan mengambil jalan pertengahan.

“Perbezaan pendapat dan pandangan harus dibenar dan diraikan jika parti ini ingin pulih dan bangun kembali. Saya menyeru dan menyarankan semua pihak mendengar sebanyak-banyaknya dan bersabar sebanyak-banyaknya. Raikan pandangan dan ambil segala pengajaran,” katanya.

Berita Harian X