Jumaat, 26 Oktober 2018 | 4:23pm
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Eizairi Shamsudin
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Eizairi Shamsudin

Hanya MKT UMNO boleh tentukan kedudukan presiden - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polemik yang menyentuh kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sama ada perlu berehat sementara atau tidak susulan berdepan 45 tuduhan pecah amanah dan rasuah hanya boleh ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Perkara itu ditegaskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengingatkan kepemimpinan UMNO dan akar umbi hanya MKT berhak membuat sebarang keputusan yang menyentuh dasar serta hala tuju parti itu, termasuk kedudukan Presiden atau ahli MKT.

“Saya sudah kata hari itu, dalam hal ini, kita ada cara kita dalam parti. Bincanglah di peringkat tertinggi iaitu MKT. Itu hanya pendirian Pemuda UMNO (meminta Ahmad Zahid bercuti dan berehat sementara daripada menjalankan tugas presiden).

“(MKT) bincang baik-baik dan buat keputusan bersama, demi parti dan kelangsungan perjuangan. Keputusan dan hala tuju parti berada di tangan dan bahu MKT,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO menggesa Ahmad Zahid berehat dan bercuti seketika dalam menjalankan tugas presiden bagi memberi peluang kepadanya yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, untuk menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Bagaimanapun, dua lagi sayap UMNO, Wanita dan Puteri, tidak sehaluan dengan Pemuda, sebaliknya mendesak seluruh ahli dan kepemimpinan UMNO menunjukkan solidariti kepada presiden di saat UMNO dan pemimpinnya diuji.

Keputusan Pemuda UMNO itu menimbulkan rantaian reaksi dalam kalangan pemimpin UMNO terutama dalam kalangan ahli MKT sehingga ada yang menempelak gesaan itu kerana disifatkan menghina presiden dan parti.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mungkin perlu berehat sementara daripada menjalankan tugas partinya berikutan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata prosedur operasi standard (SOP) kepemimpinan tertinggi bercuti jika dihadapkan ke mahkamah tidak terpakai dalam kes Ahmad Zahid kerana ia dibuat ketika UMNO menjadi kerajaan.

Berita Harian X