Rabu, 17 Oktober 2018 | 12:36pm
GAMBAR fail, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap ketika hadir ke majlis Amanat SDR Rafizi Ramli Sempena Pemilihan PKR 2018 di Dewan D'Cattleya Senawang, semalam. - Foto Adzlan Sidek
GAMBAR fail, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap ketika hadir ke majlis Amanat SDR Rafizi Ramli Sempena Pemilihan PKR 2018 di Dewan D'Cattleya Senawang, semalam. - Foto Adzlan Sidek

JPP, Jawatankuasa Disiplin panggil Rafizi

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk disiasat berhubung dakwaannya pemilihan parti dipalit dengan politik wang.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai Biro Politik PKR dalam mesyuaratnya malam tadi.

“Kita sudah ambil semua maklumat dan serahkan kepada JPP dan Jawatankuasa Disiplin. Kita akan panggil beliau dan mereka akan siasat,” katanya ringkas kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi sebelum ini mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Rafizi turut mendakwa ada cabang PKR menerima sumbangan wang antara RM100,000 hingga RM200,000 dalam pemilihan parti selain ahli diberi RM100 untuk satu undi.

Berita Harian X